RENUNGAN



Monday, October 17, 2011

Hukum Pemindahan Darah Dari Seorang Wanita Kepada Kanak-Kanak Bawah Umur Dua Tahun. Apakah Hukumnya Sama Dengan Hukum Susuan

Hukum Pemindahan Darah Dari Seorang Wanita Kepada Kanak-Kanak Bawah Umur Dua Tahun. Apakah Hukumnya Sama Dengan Hukum Susuan, Bolehkah Juga Diambil Bayaran Dari Pemberian Darah tersebut?

Sumber: al-Majma’ al-Fiqhiy al-Islamiy

Persidangan Ke-11 : 20/7/1409H bersamaan 26/2/1989M

Teks Fatwa diterjemahkan oleh Mohamad Abdul Kadir bin Sahak:

“Pemindahan darah tidak menjadikan hubungan susuan, hubungan susuan terjadi khusus dengan penyusuan. Adapun hukum mengambil balasan (bayaran) dari darah yang diberikan dengan kata lain:Jual-beli Darah. Maka Jawatankuasa berpandangan: Perkara tersebut tidak dibenarkan, kerana ia termasuk di dalam perkara yang diharamkan yang telah dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim, diharamkan bersama bangkai dan daging babi. Oleh kerana itu tidak boleh menjual dan mengambil bayaran darinya. Telah Sahih hadis yang menyatakan:
إن الله تعالى إذا حرم شيئا حرم ثمنه

(Mafhumnya:) “Sesungguhnya Allah Taala apabila mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya.”

Demikian juga telah sahih bahawa baginda melarang dari jual-beli darah. Melainkan dalam keadaan-keadaan darurat untuk tujuan-tujuan perubatan, dimana tidak terdapat sesiapa yang sudi mendermakan darah melainkan mesti di beri balasan (bayaran). Hal ini demikian kerana “Perkara-Perkara Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang” dalam kadar menghilangkan dharurat tersebut, maka ketika itu dibenarkan member balasan (bayaran), dan dosa hanya dikira kepada orang yang meminta bayaran dan mengambilnya. Dalam masa yang sama tiada larangan untuk diberikan wang sebagai hadiah atau ganjaran sebagai perangsang kepada kerja kebajikan dan kemanusian ini, kerana ia termasuk dalam bab tabarru’ dan bukan saling tukar-menukar (jual-beli).” - Tamat Fatwa -

WANITA DAN LELAKI YANG BAIK SEBENARNYA UNTUK SIAPA ?

Bismillahirrahmanirrahim.....
Ramai di antara kita tahu tentang sebuah firman Allah yang menyatakan bahawa wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah ini boleh ditemui dalam surah an-Nur ayat 26 yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..”
Dengan ini ramai di antara kita menggunakan ayat ini untuk menyatakan tentang hal-hal berkaitan jodoh. Tetapi ada sesetengah di antara kita kurang jelas dengan maksud ayat ini kerana pada pandangan mereka, ramai pasangan yang mereka temui tidak selalunya demikian. Ada lelaki yang baik tetapi berkahwin dengan perempuan yang derhaka. Ada juga perempuan yang baik tetapi si suami begitu zalim.
Untuk menjelas hal ini kita perlu memahami maksud sebenar ayat di atas. Ayat itu perlu dibaca sampai habis. Kita perlu tahu bahawa ayat di atas sebenarnya diturunkan bersempena peristiwa ‘Al-Ifki’, iaitu ketika Sayyidatina Aisyah r.a difitnah oleh puak-puak munafik di Madinah bahawa beliau telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu’attol.
Allah s.w.t. mempertahankan kesucian Aisyah r.a. dengan menegaskan bahawa jika benar-benar Aisyah itu jahat, beliau tidak akan didampingi orang yang baik-baik seperti Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Bahkan Rasulullah amat menyayaingi Aisyah.
Pengajaran yang kita dapat ambil dari ayat ini adalah hubungan baik seseorang itu bergantung kepada sikapnya sendiri. Jika dia seorang yang baik, mustahil dia akan bergaul dengan orang yang jahat dan begitulah sebaliknya. Seperti juga hubungan suami isteri. Wanita yang baik tidak akan bersama dengan suami yang jahat. Seandainya mereka telah dijodohkan bersama, mereka tetap tidak akan dapat bersatu. Sebab itu dalam Islam sendiri perceraian adalah perkara yang halal. Bukan haram. Meskipun begitu, ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah.
Ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengambil jalan terakhir untuk bercerai, tetapi seandainya kita boleh berusaha mengubah pasangan menjadi lebih baik, bersabar dan bertawakkal kepada Allah, maka hendaklah kita berusaha terlebih dahulu. Namun jika tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana sifat isteri yang sering derhaka atau suami yang terlalu zalim, maka bercerai adalah langkah yang jauh lebih baik dari membiarkan diri terseksa dan rumah tangga yang dipenuhi kemurkaan. Kerana tidak mungkin seorang yang baik itu akan bersama dengan seorang yang jahat. Inilah maksud yang kita perlu fahami.
Selain itu kita juga perlu jelas bahawa orang yang baik-baik jarang sekali mengaku dirinya baik. Memang kita semua akui bahawa kita mahu mencari yang terbaik sebagai pasangan hidup kita. Namun sekiranya kita adalah seorang yang berilmu, kita tidak seharusnya memandang hina pada orang yang kurang bernasib baik seperti kita. Jika  kita manusia yang alim, maka membimbing dan mentarbiah pasangan adalah tanggungjawab kita.
Saya hairan dengan sesetengah sikap manusia yang merasakan dirinya baik, punyai keluarga yang beragama tetapi memandang hina insan lain. Bagi mereka orang-orang yang tidak berlatarbelakang agama dan hidup dengan penuh sosial itu begitu hina dan tidak layak untuk mendampingi mereka. Perkara ini benar jika orang-orang itu tidak mahu berubah ke arah kebaikan dan ingin mengheret kita ke jalan maksiat. Tetapi tidak jika mereka mahu berubah, mereka ingin belajar tentang Islam dan ingin kembali kepada Allah. Mereka perlu diberi peluang untuk bersama kita menghayati keindahan Islam.
Namun sikap sesetengah manusia yang merasakan dirinya alim ini begitu mementingkan diri sendiri. Mereka mengabaikan manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Ada yang menjauhkan diri dari mereka, malah tidak kurang juga yang menghina. Tidak hairanlah diakhirat esok terdapat 3 golongan yang apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka, ahli neraka sendiri akan merasa hairan. Kerana 3 golongan ini kelihatan begitu alim sewaktu hidupnya tetapi siapa tahu, hatinya kotor!
Untuk mendapatkan yang terbaik, biarlah kita sendiri yang mengubah sikap menjadi yang terbaik. Sesiapa sahaja yang kita dampingi, samada baik atau jahat, kita mungkin tidak akan tahu. Elakkan diri dari memilih orang yang tidak sepatutnya namun elakkan juga dari bersangka buruk dan menghina orang lain. Kita diberikan akal untuk berfikir, maka buatlah pilihan yang baik.
Harus diingat, wanita semulia Asiah sendiri dijodohkan dengan Firaun yang begitu zalim. Seandainya kita ini sebaik dan semulia Asiah, kita juga masih belum layak untuk mengakui bahawa kita hanya layak menerima pasangan yang baik. Namun sebagai hamba yang disayangi-Nya, Allah tidak akan sesekali menzalimi kita.
Sebaik atau sejahat manapun pasangan yang kita terima setakat ini, itulah yang terbaik buat kita. Allah tidak pernah salah dalam aturannya. Namun untuk mencari yang lebih baik, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam ajarannya. Kita hanya perlu belajar dan mula mengamalkannya.
Wallahualam....